Menjadi nikmat paling berharga dalam kehidupan manusia apabila
memiliki jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang akan sentiasa berbahagia
dalam mengharungi setiap cabaran, malah masih mampu tersenyum
menghadapinya.
Jiwa tenang tidak mudah berputus asa,
mengeluh dan berperasaan hasad dengki kerana semua sifat mazmumah itu
boleh memusnahkan diri.
Ia memerlukan rawatan segera kerana
kesannya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Alangkah manisnya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan
dan ketenteraman.
Kegelisahan yang melanda diri seseorang
menyebabkan mereka mengalami kebingungan. Ketika itu diri terasa tiada
tempat lagi untuk mengadu. Jiwa tak tenteram sebenarnya mempunyai sebab
tersendiri. Antara sebab utamanya adalah melakukan dosa.
Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan.
Maka
kita mesti menjauhi segala kejahatan yang disebabkan oleh anggota
badan. Tujuh anggota badan yang paling berpengaruh dalam melakukan dosa
adalah mata,telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga
ada ulama yang mengatakan, Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai
tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.
Mata hendaklah
digunakan bagi melihat perkara yang baik dan indah, bukan yang haram
atau yang lucah. Telinga mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar
sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar
umpatan dan fitnah.
Perut mesti diisi dengan makanan yang halal.
Sebab yang menjadikan diri tidak tenang juga berpunca daripada hati
kotor. Bukan saja dengan dosa tapi juga akhlak tercela.
Rasulullah bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing." Dimaksudkan dengan malaikat ialah ketenangan yang dibawa. Rumah pula ialah hati, manakala anjing adalah menggambarkan sifat dan akhlak tercela.
Jika
kita mempunyai akhlak tercela, hati bertindak sebagai rumah itu pasti
menjadi kotor dan ketenangan tidak akan datang menjenguk.
Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggal mereka tetapi syaitan yang akan 'menetap'.
Sifat
tercela membuatkan seseorang sering menjadi risau. Hasad dengki pula
membuatkan mereka tidak suka melihat orang senang, bersifat takbur, ego
serta sombong.
Itulah tekanan pertama dialami syaitan ketika
kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya. Begitu juga ujub
dan riak kerana sifat demikian berpunca daripada perasaan mereka mahu
dilihat sempurna sedangkan orang lain dipandang rendah.
Begitu
juga sifat bakhil atau kedekut. Mereka tidak akan pernah tenang, hatinya
akan terikat dengan harta, cinta harta tak salah tapi kedekut itu buat
orang gundah.
Cintakan kemasyhuran dan popular langsung tiada
perasaan rendah diri, hati akan gelisah. Sifat pemarah membuatkan orang
menjadi pendendam. Hanya rasa takut kepada Allah saja boleh
menghilangkan rasa marah itu.
Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia bagaimana untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
"Wahai
umat manusia, sesungguhnya telah datang kepada mu al-Quran yang menjadi
penasihat (pengajaran) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi
penyakit-penyakit batin (jiwa) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi
petunjuk (hidayah) untuk keselamatan serta membawa rahmat
bagiorang-orang yang beriman." (Surah Yunus ayat 57).
Bahkan
amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran mampu
mententeramkan jiwa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Tidak
berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah,
mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran)dan membincangkannya
bersama-sama, melainkan turun ke atas mereka 'as-sakinah'(ketenangan)
dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh malaikat dan
Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang abadi
sisi-Nya." (Riwayat Bukhari )
Semua cabaran kehidupan perlu
dihadapi dengan sikap positif kerana perjuangan memupuk sifat terpuji
akan melahirkan jiwa tenang. Dalam dunia moden ini, penyakit jiwa
dikenali sebagai gangguan psikologi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan